Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman meminta rakyat terus memberikan sokongan yang padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) berdasarkan keupayaannya membantu sekali gus menyalurkan pelbagai bentuk pembangunan di negeri ini. Menurut beliau, rekod baik kerajaan selama ini membolehkan semua kaum mendapat manfaat dengan bermacam program menjurus pembangunan rakyat tanpa meminggir sesiapa pun.
Beliau berkata, keprihatinan kerajaan juga turut membantu rakyat terutamanya di luar bandar untuk menikmati pelbagai pembangunan yang dilaksanakan sejajar janji-janji pilihan rayanya. Katanya, rakyat usah terpengaruh dengan apa jua hasutan yang cuba dilempar pihak pembangkang kerana ia hanya semata-mata untuk kepentingan politik sempit mereka.
“Hasutan atau dakyah pembangkang sebenarnya tidak berasas sama sekali. Inilah cara mereka mahu memerintah. Yang penting, rakyat tidak terpengaruh sebaliknya memberikan sokongan padu kepada kerajaan sedia ada.
“Kerajaan yang ada pada hari ini telah terbukti membantu rakyat dalam pelbagai aspek pembangunan. Saya yakin, rakyat terus terbela di bawah pemerintahan BN berdasarkan rekod perhidmatannya yang cemerlang selama ini,” jelasnya.
Musa menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Cawangan Umno Berkelompok Daerah Mengundi Padas dan Rancangan di Dewan Kg Padas, dekat sini, kelmarin. Hadir sama Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gum-Gum, Datuk Zakaria Haji Mohd Edris; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie KK Ajirol; Ketua Pergerakan Wanita Umno Sabah, Datuk Hajah Armani Mahiruddin; Ketua Puteri Umno Libaran, Karmi Ariffin; Pengarah JASA Sabah, Haji Abdul Manap Lakariba dan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Datuk Ir. James Wong serta barisan ahli jawatankuasa Umno Libaran termasuk pemimpin masyarakat setempat.
Dalam pada itu, Musa selaku Adun Sungai Sibuga dan Ketua Umno Bahagian Libaran menyarankan rakyat terutamanya ahli-ahli Umno di kawasan ini agar sentiasa bersatu dan bekerjasama antara satu sama lain. Katanya, jika prinsip perjuangan murni ini dapat diamalkan maka bukan sahaja membantu memperkukuhkan parti keramat Umno tetapi secara tidak langsung tidak akan memberi peluang kepada pihak-pihak yang cuba menggugat kedudukan parti.
Ketua Menteri menegaskan negeri ini perlu dikekalkan di bawah pemerintahan kerajaan BN dan jangan sesekali membiarkan ia kerana kesan kepada masa hadapan rakyat nanti.
“Kita bertuah kerana di Sabah ditadbir kerajaan BN … hari ini pelbagai pembangunan yang kita lihat. Oleh itu, saya cukup yakin pembangunan Sabah akan bertambah rancak di bawah pemerintahan kerajaan kita.
“Justeru, Sabah yang menjadi kubu kuat terhadap parti perlu dipertahankan,” ujarnya sambil menaruh keyakinan kerana rakyat tahu menilai kerajaan yang baik seperti BN telah banyak berjasa dan perlu diberikan mandat sepenuhnya.
Serentak itu, Ketua Menteri berkata Umno yang menjadi nadi kekuatan kerajaan akan terus berjuang membela nasib rakyat jelata tanpa mengira idealogi dan latar belakang mereka. Beliau mahu sokongan padu di peringkat akar umbi diperkukuhkan bagi mempastikan jentera parti tidak mudah diganggu-gugat.
Pada majlis berkenaan, Musa turut menyatakan ikrar taat setia dan sokongan padu kepada Perdana Menteri yang juga Presiden Umno iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk menerajui parti dan negara ini. Menurut beliau, sokongan yang tidak berbelah-bagi harus diberikan kepada Najib berdasarkan karisma dan kewibawaannya sebagai pemimpin yang telah berjaya memastikan pembangunan negara pada tahap terbaik.
No comments:
Post a Comment