Ibarat diberikan betis nakkan peha. Itu adalah perumpamaan Melayu yang paling sesuai digunakan terhadap situasi terkini yang menimpa Parti Amanah Negara (PAN) apabila penaung parti itu iaitu DAP mempersoal kehendak dan tuntutan PAN untuk mendapatkan kerusi lebih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Keputusan agihan kerusi yang memperlihatkan agihan kerusi Parlimen yang tidak seimbang dan berat sebelah ini menyebabkan pucuk pimpinan PAN berasa tidak puas hati dan rata-rata pemuda PAN menganggap keputusan ini sebagai keputusan duka buat mereka.
Walau bagaimanapun DAP menempelak PAN dan menegaskan bahawa parti itu tidak perlu membangkitkan isu agihan kerusi yang diumumkan dengan tidak mengeruhkan keadaan menjelang PRU-14. Namun demikian, pelbagai reaksi negatif masih diluahkan pucuk pimpinan PAN negeri yang secara terang-terangan menonjolkan ketidakpuasan hati mereka.
Antara tindakan yang dibuat untuk menzahirkan ketidak puasan hati mereka ialah PAN Johor bertindak memboikot konvensyen Ahad lalu. Lain lain negeri seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak dan Perlis turut mempertikaikan agihan kerusi ini.
Nampak gaya DAP turut tidak percaya dengan kemampuan PAN berbanding PPBM kerana mereka percaya bahawa PAN tidak mempunyai kekuatan untuk memenangi kerusi parlimen yang ditandingi. Hanya 27 kerusi yang dipersetujui pucuk pimpinan Pakatan Harapan untuk PAN dan faktor utama yang mendorong keputusan ini dibuat semestinya dibuat kerana parti itu sehingga kini gagal memberi impak kepada politik negara dan ianya juga diakui DAP sendiri.
No comments:
Post a Comment