Aktivis sosial, Hishamuddin Rais perlu beristighfar sekiranya percakapannya dalam Forum ‘Adakah Mahathir Solusi untuk Malaysia yang Lebih Baik?’ baru-baru ini benar-benar bermaksud dia hanya dilahirkan dalam Islam tetapi tidak memeluk agama itu.
Perkara itu ditegaskan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman selain menggesa Hishamuddin menjelaskan maksud kata-katanya itu sama ada merujuk dirinya adalah bukan mualaf atau sebaliknya.
“Mungkin dia nak maksudkan dia bukan mualaf yang peluk Islam. Kena tanya (maksud) sebenarnya pada dia, kalau begitu (merujuk beliau bukan mualaf) tidak salah.
“Kalau dia cakap saya dilahirkan Islam tetapi bukan Islam, itu dia kena istighfar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kelantangan Hishamuddin yang menyatakan ‘Tentang RUU itu saya tidak ada pandangan kerana saya tidak memeluk agama Islam tapi saya dilahirkan Islam’ semasa disoal tentang Rang Undang-Undang (RUU) pada Forum ‘Adakah Mahathir Solusi untuk Malaysia yang Lebih Baik?’.
Sementara itu, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Ismail Mina Ahmad berharap Hishamuddin mendapatkan pandangan serta pemahaman tentang Islam daripada mufti-mufti kerana dibimbangkan ucapannya itu mempunyai implikasi akidah.
Jelas beliau, orang yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam secara automatik menganut agama itu dan tidak boleh mempersoalkan atau mengeluarkan kenyataan yang bercanggah kerana dikhuatiri mayatnya tidak diuruskan dengan baik seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan umat bukan Islam bahawa Hishamuddin tidak mewakili pemikiran atau ajaran Islam.
No comments:
Post a Comment