Suatu ketika dahulu, isu Tabung Haji menjadi satu isu hangat di negara ini disebabkan dakwaan negatif seorang pemimpin pembangkang terhadap tahap kewangan dan prestasi perbadanan berkenaan.
Tindakan membabi buta pemimpin pembangkang tersebut telah menjejaskan reputasi perbadanan itu sehingga menyebabkan ramai pendeposit mengeluarkan wang mereka secara mendadak yang akhirnya meninggalkan kesan kepada para pendeposit itu sendiri.
Pemimpin berkenaan telah menyampaikan fakta yang tidak tepat dan boleh mengelirukan serta menakutkan para pendeposit. Seramai 3,954 pendeposit Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menutup akaun mereka pada 2016 berpunca daripada berita negatif yang disebarkan secara 'online'.
Lebih membimbangkan, seramai 3,105 daripada jumlah itu hilang kelayakan menunaikan haji serta tahun giliran menunaikan haji. Ini semua disebabkan kerenah seorang individu tidak bertanggungjawab yang sering ‘menyerang’ Tabung Haji.
Tohmahannya itu menyebabkan harapan lebih 3,000 umat Islam menunaikan ibadah haji hancur begitu sahaja. Dimaklumkan akibat tindakan itu, pendeposit perlu mendaftar semula jika ingin menunaikan haji dan perlu menunggu tempoh lebih lama.
Sudah pasti perkara ini merupakan satu isu yang sangat merisaukan. Mengapakah mereka mudah terpengaruh dengan berita-berita negatif sebegitu dan menutup akaun di Tabung Haji. Bukankah ibadah haji itu jauh lebih penting daripada fitnah yang menimbulkan persepsi tentang keselamatan simpanan di Tabung Haji?
Bukankah simpanan di Tabung Haji itu berlandaskan konsep Al-Wadiah Yad-Dhamanah iaitu simpanan pendeposit dijamin 100 peratus oleh kerajaan? Haruskah kita mengabaikan tanggungjawab sebagai Islam oleh kerana mudah mempercayai mainan politik?
Amat sedih apabila melihat Tabung Haji dijadikan mainan politik. Tabung Haji sepatutnya dilihat sebagai sebuah institusi mulia yang dikagumi masyarakat antarabangsa. Jangan mudah terpengaruh dengan berita-berita palsu dan negatif. Kaji dan nilai dahulu setiap berita-berita yang diperolehi untuk memastikan kesahihannya agar ianya tidak mendatangkan mudarat kepada kita.
No comments:
Post a Comment