Krisis yang melanda Selangor sejak kebelakangan ini jelas menunjukkan kelemahan pentadbiran PKR di bawah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang gagal melaksanakan tugasnya sebagai Menteri Besar dengan baik.
Lihat saja krisis bekalan air terawat yang telah menjejaskan kira-kira 2.5 juta rakyat di kawasan Lembah Klang baru-baru ini. Krisis ini dianggap antara kegagalan terbesar dalam tempoh 10 tahun pentadbiran PKR Selangor.
Malah kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan proses pengambilalihan Splash (Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd.) kerana didakwa membuat tawaran harga berlebihan daripada kos sebenar terus menghantui rakyat Selangor.
Selain itu, 9 lagi kegagalan Menteri Besar Selangor dalam mentadbir Selangor adalah membabitkan soal pendidikan, kedudukan agama Islam, perumahan rumah rakyat, amalan tadbir urus yang baik, pengurusan anak-anak syarikat, kos sara hidup, pembangunan belia, kesihatan dan sosial rakyat.
Dalam isu pendidikan sebagai contoh, kerajaan negeri Selangor gagal melaksanakan janji pendidikan percuma kepada rakyat, sama ada melibatkan Sekolah Agama Rakyat ataupun institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri seperti Universiti Selangor (UNISEL).
Institut pengajian tinggi milik kerajaan negeri difahamkan berhadapan dengan masalah kewangan, menanggung beban hutang selain gagal menarik jumlah kemasukan pelajar yang ramai. Begitu juga dengan nasib serta kebajikan guru kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA) yang masih gagal dibela sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Sedangkan janji pendidikan percuma itu terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan janji sama sekali lagi diulangi dalam manifesto Pakatan Harapan untuk PRU-14 yang dilancarkan pada 8 Mac lalu. Di sini jelas, Pakatan Harapan cuba mengaburi rakyat dengan mengulangi manifesto yang tidak pernah mereka tunaikan selama ini.
Lebih dasyat lagi, Kerajaan negeri pimpinan Mohamed Azmin juga gagal menunjukkan contoh pelaksanaan tadbir urus yang baik apabila sehingga kini masih takut untuk melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sebaliknya, pentadbiran kerajaan negeri kini terpalit dengan pelbagai skandal termasuk isu tanah di Kampung Sungai Yu, penjualan 880 hektar tanah di mukim Ijok dan pengendalian dana di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang semuanya kini dalam siasatan SPRM.
Kegagalan sama turut berlaku dalam soal penyediaan perumahan mampu milik kepada rakyat. Bagaimana kerajaan negeri khususnya Menteri Besar boleh mendabik dada kononnya berjaya menyelesaikan masalah itu sedangkan 9 projek di bawah Skim Perumahan SelangorKu sebelum ini terpaksa dibatalkan?
Kerajaan negeri juga gagal memastikan penyelenggaraan kemudahan perumahan rakyat sehinggakan KPKT (Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan) tampil dan campur tangan dalam menyelesaikan sebahagian besar masalah penduduk yang terlibat di Selangor.
Realitinya inilah cara dan gaya pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar Azmin Ali yang hanya indah khabar dari rupa. Selama ini Azmin Ali hanya pandai memomokkan cerita-cerita bahawa Selangor adalah negeri terbaik di bawah Pakatan Harapan. Hakikatnya kelemahan dan kegagalan pentadbiran Azmin Ali sebenarnya ditutup pemimpin mereka sendiri yang tidak mahu mendedahkan hal sebenar kepada rakyat.
Jelas sekali kerajaan Selangor di bawah pimpinan Azmin Ali merupakan kerajaan yang paling gagal setakat ini berbanding dengan pencapaian Menteri-Menteri Besar terdahulu termasuk Bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
No comments:
Post a Comment