Kementerian Kewangan menegaskan tuduhan kerugian RM39.6 bilion oleh Bank Negara Malaysia (BNM) seperti dikatakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya adalah aliran keluar dana asing, iaitu sesuatu yang bukan luar biasa, dan bukanlah kerugian daripada dagangan tukaran asing seperti berlaku semasa pentadbirannya.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang mematahkan tuduhan bekas Perdana Menteri itu berkata, RM39.6 bilion itu sebenarnya adalah jumlah yang mencerminkan penyusutan rizab antarabangsa disebabkan aliran keluar dana asing dari Malaysia antara tahun 2013 hingga 2015, dan bukannya daripada kerugian dagangan tukaran asing BNM.
"Sindiran yang dibuat di dalam video bahawa BNM cuai menguruskan rizab antarabangsa semasa tempoh 2013-2015 bukan hanya melulu, malah juga satu cubaan untuk memperlekehkan mandat institusi BNM dalam melindungi ekonomi dan kestabilan negara dengan mewujudkan keraguan dan salah anggap dalam kalangan orang ramai," katanya.
Johari berkata, aliran keluar 2013-2015 itu adalah disebabkan kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan global yang lemah, jangkaan langkah normalisasi dasar monetari di Amerika Syarikat (AS) serta kejatuhan mendadak harga minyak global.
"Semasa tempoh ini, aliran keluar modal bukan hanya berlaku kepada Malaysia malah ia turut menjejaskan pasaran sedang pesat membangun lain termasuk Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, India, China, Korea Selatan dan Taiwan," katanya dalam satu kenyataan.
"Semua faktor luaran ini secara praktiknya mendesak pelabur asing untuk mencairkan pelaburan mereka di dalam pasaran saham dan bon kita.
"Ini sekali gus mengakibatkan peningkatan permintaan bagi dolar AS berbanding ringgit apabila pelabur asing menukar dana berkenaan kepada dolar AS dan menghantarnya balik ke negara masing-masing.
"Dalam tempoh ini, BNM menyediakan kecairan dolar AS kepada pelabur asing sebagai tukaran untuk ringgit dan ini sudah pasti berbeza daripada aktiviti dagangan tukaran asing spekulatif yang dibuat pada awal 1990-an," katanya.
Johari berkata, sistem pengurusan rizab semasa oleh BNM berfungsi dengan amat baik dan pasaran kewangan tersusun serta stabil meskipun semasa berlaku aliran keluar modal yang besar.
"Memandangkan asas kita yang kukuh, penyusutan rizab semasa tempoh 2013-2015 tiada impak material terhadap fungsi ekonomi Malaysia serta kedudukan kewangan bank pusat.
"Malah, BNM terus merekodkan keuntungan bersih memberangsangkan sepanjang tempoh berkenaan berbanding pada 1993 apabila kerugian operasi direkodkan disebabkan oleh aktiviti dagangan tukaran asing spekulatif.
"Saya perlu menegaskan bahawa rizab antarabangsa kekal sebagai penampan penting terhadap kejutan luaran dan mustahak bagi mengekalkan persekitaran operasi stabil di dalam ekonomi domestik. Sejak itu, rizab antarabangsa Malaysia terus meningkat," katanya.
Setakat akhir November 2017, rizab antarabangsa mencecah AS$101.9 bilion dan mencukupi untuk menyokong 7.5 bulan import tertangguh.
Jumlah rizab semasa adalah lima kali lebih besar berbanding AS$21.7 bilion direkodkan pada 1997 yang hanya boleh menyokong 3.4 bulan import tertangguh.
No comments:
Post a Comment