Wednesday, 20 December 2017

ECRL : KERAJAAN BELAJAR DARI KESILAPAN ZAMAN TUN M, TERPAKSA BAYAR BERGANDA AKIBAT KENAIKAN NILAI MATA WANG JEPUN



Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyangkal dakwaan kononnya projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) bukan pelaburan, sebaliknya pinjaman.

Polemik baharu itu dicetuskan Tun Daim Zainuddin, bekas Menteri Kewangan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mendakwa ECRL bukan pelaburan, sebaliknya pinjaman kerana kerajaan perlu membayar semula pembiayaannya.

Abdul Rahman berkata, kerajaan sudah berulang kali menjelaskan ECRL yang bakal menghubungkan Pantai Barat dengan Pantai Timur Semenanjung, distrukturkan sebagai pelaburan domestik dibiayai pinjaman mudah dari China menerusi Export-Import Bank of China (EXIM).

Katanya, kerajaan tidak menggunakan kaedah pelaburan langsung asing kerana menerusi pinjaman mudah, ECRL akan dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya anak syarikat Kementerian Kewangan yang akan membayar semula pinjaman mudah itu apabila rangkaian ini mula beroperasi.

Kerajaan sekarang belajar daripada kesilapan lalu apabila kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir dan Tun Daim meminjam dengan banyak dari Jepun dan terpaksa membayar berganda apabila nilai Yen meningkat tinggi berbanding ringgit, manakala kerajaan hari ini sudah memastikan pinjaman mudah dari China dilengkapi mekanisme meringankan risiko tukaran mata wang.

Jika ECRL adalah pelaburan langsung asing, maka pihak asing akan memilik dan mengendalikan rangkaian kereta api ini, dan pemiliknya akan memindahkan keuntungan dari operasinya ke negara mereka.

"Berikutan rangkaian kereta api ini akan merentas Semenanjung, kerajaan memutuskan pemilikan dan operasinya mesti dimiliki negara bersandarkan kepada faktor keselamatan negara dan strategik ekonomi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Rahman berkata, pembiayaan asing bagi projek pelaburan domestik juga pernah dilaksanakan semasa era pentadbiran Dr Mahathir dan Daim, antaranya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Projek Janakuasa Hidroelektrik Kenyir dan Stesen Janakuasa Port Dickson (Tuanku Jaafar) yang dibiayai oleh Jepun.

Selain itu, katanya, pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang atau nama rasminya Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, turut dibiayai pinjaman mudah dari China.

"Bagaimanapun, jika Tun Daim atau Tun Dr Mahathir mempunyai isu dengan projek ECRL sebagai pelaburan domestik melalui pinjaman mudah berbanding pelaburan langsung asing, saya sarankan mereka nyatakan pendirian dan gesa kerajaan menjual projek infrastruktur strategik ECRL dengan meletakkannya di bawah pemilikan asing.

"Adakah Tun Daim dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) lebih gembira jika warga asing memiliki dan mengendalikan ERCL.

"Jika ECRL adalah pelaburan langsung asing China, adakah mereka akan mengkritik projek itu dan mendakwa ia adalah penguasaan ekonomi oleh negara China sebagaimana mereka dakwa pada pelaburan lain negara itu di Malaysia," katanya.

Projek ECRL tidak boleh lagi ditangguhkan kerana kosnya akan meningkat pada masa akan datang, malah ia sepatutnya dilaksanakan ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri kerana kosnya lebih rendah pada ketika itu.

"Ketika projek ECRL akan bermula, ia tidak sepatutnya dilengahkan atau lebih teruk lagi dipolitikkan. Rakyat Kelantan, Terengganu dan Pahang berhak menerima layanan dan peluang lebih baik," katanya.

No comments:

Post a Comment

PENGUNDI-PENGUNDI KELANTAN.... BACALAH.....

Demo para pengundi luar Kelantan, balik dan undilah pihak yang boleh menolong kami yang menetap di bumi Kelantan. Jangan demo bagi bunga t...