Pendaftaran parti PPBM berkemungkinan akan dibatalkan sekiranya Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak meluluskan permohonan mereka. Ini berikutan terdapat 430 aduan dari akar umbi yang mendakwa ianya tidak mengikut perlembagaan PPBM. Aduan yang dibuat kebanyakan dari peringkat akar umbi PPBM kerana mereka mendakwa tidak diadakan terlebih dahulu mesyuarat bahagian bagi memilih wakil ke mesyuarat AGM PPBM.
Menurut ROS terdapat tiga kesalahan yang dilakukan PPBM. Kesalahan itu ialah tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai Armada dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa merujuk kepada peruntukan dalam perlembagaan parti. Perlu diingatkan di sini, perkara ini pernah terjadi pada tahun 1988 apabila UMNO diharamkan kerana melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan.
Permohonan untuk mendaftarkan pertubuhan telah dihantar untuk kelulusan kepada ROS namun sehingga kini masih tiada keputusan. Kelulusan setiap pertubuhan haruslah melalui prosedur tertentu sebelum diluluskan. Terdapat aduan dari ahli pertubuhan sendiri yang secara tidak langsung melambatkan lagi proses kelulusan kerana ROS harus meneliti dan menyiasat terlebih dahulu semua aduan yang dilaporkan.
ARMADA sejak kebelakangan ini mendesak ROS untuk menyegerakan kelulusan pendaftaran PPBM. Ini bertujuan agar mereka layak untuk bertanding dalam pilihanraya ke 14 nanti. Nampaknya mereka seperti tidak sabar-sabar untuk bertarung di gelanggang PRU. Lagak seekor ayam jantan togel ditambat kaki yang hendak melawan ayam jagohan yang sudah seringkali menang dalam pertandingan. Hasil pemeriksaan ROS mendapati bahawa sayap ARMADA ini tidak terdapat dalam perlembagaan PPBM. Jesteru, bagaimana mereka layak bertanding dengan UMNO kalau tiada kelayakan menjadi calon.
Masalah dalaman parti juga masih membelenggu PPBM dan sehingga kini ianya tidak dapat diselesaikan. Terdapat ahli PPBM di peringkat negeri mahukan kawasan yang lebih dan membolehkan mereka bertanding terutama di kawasan yang boleh menang. Namun ada juga kawasan yang diperuntukan kepada mereka yang berisiko tinggi untuk kalah dan tidak ada harapan untuk menang. Sebagai contoh, pertelingkahan di Johor dan Negeri Sembilan yang menuntut agar PPBM diberi kerusi lebih. Manakala di Selangor masih belum ada keputusan agihan kerusi bagi parti di antara gabungan PKR, AMANAH dan PPBM.
Kemelut dengan ROS ditambah lagi apabila Pengerusi PPBM sanggup mengheret pertubuhan pendaftar ke mahkamah. Tindakan Tun M sebenarnya hanya akan merumitkan lagi permohonan mereka. Persoalannya, mengapa Tun M sangat terdesak untuk memberi tekanan kepada ROS? Adakah ini salah satu rancangan beliau supaya dapat menyelamatkan kerjaya politik anaknya dengan mahu menubuhkan PPBM secepat mungkin.
Ura-ura mengatakan sekiranya ROS tidak meluluskan penubuhan PPBM, Tun M dan Mukhriz akan bertanding atas tiket DAP. Seperti yang kita ketahui, DAP adalah rakan sekatil keluarga Tun M. Tapi sanggupkah DAP memberikan kawasan mereka kepada kedua-dua M ini. Bagaimana pula dengan kehendak dan kemahuan ahli dalam DAP sendiri? Benarlah DAP akan menggunakan Tun M dalam meraih sokongan golongan Melayu dan memperkukuhkan lagi tujuan sebenar mereka untuk memerintah Malaysia.
DAP sekarang sudah boleh tersenyum lebar kerana pertubuhan mereka telah didaftarkan dan diiktiraf oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang membolehkan mereka bertanding dalam Pilihanraya Umum tahun ini tanpa sebarang halangan. Kini politik PPBM bagaikan telur di hujung tanduk. PRU14, adakah PPBM layak untuk bertanding? Apa pula yang akan terjadi kepada pemimpin mereka? Di mana mereka akan menjadi calon? Parti manakah mereka akan bernaung? Bagai anak ayam kehilangan ibu bila Tun M dan Mukhriz menjadi calon pilihan DAP nanti. Atau adakah ramai yang akan menjadi calon bebas dan apabila menang mempunyai pilihan untuk melompat parti seperti PRU 13 yang lalu. Apa-apa pun biarlah ROS menentukan kelayakan PPBM sama ada parti itu layak bertanding ataupun tidak.
No comments:
Post a Comment