Setiap tahun Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) akan menjadi satu penantian bagi semua rakyat Malaysia. BR1M merupakan satu formula ekonomi untuk menstabilkan tekanan inflasi, BR1M ialah salah satu stimulasi pakej ekonomi, atau pakej rangsangan ekonomi.
BR1M 2018 telah mula proses pengagihan pada Ahad yang lalu, di mana 2,000 penerima BR1M telah menerima bantuan tersebut di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang. Majlis telah dirasmikan oleh Dato’ Sri Najib Razak bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah.
Dalam majlis pengagihan tersebut, Najib telah menegaskan dan menangkis tanggapan pembangkang yang mendakwa BR1M adalah dedak kerajaan untuk meraih undi sempena PRU-14 nanti. BR1M bukanlah dibuat atas kepentingan politik, sebaliknya ia adalah hak bagi individu yang benar-benar layak tanpa mengira parti politik yang disertainya.
“Kalau orang kata kita hendak membeli undi, itu tidak betul sebab asal usulnya BNM yang cadangkan. “Kalau hendak beli undi, kita bagi kepada puak-puak kita sahaja tetapi kita bagi kepada semua termasuk di negeri pembangkang kerana penerima dipilih berdasarkan pendapatan mereka,” kata Najib.
Najib telah memberitahu bahawa idea perlaksaan BR1M ini bukanlah diilhamkan oleh beliau atau mana-mana ahli politik sebaliknya ia telah dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Idea kaedah subsidi bersasar ini dilihat telah banyak memberi manfaat kepada golongan yang benar-benar memerlukan berbanding dengan subsidi pukal yang mempunyai terlalu banyak ketirisan.
Pada awalnya, Malaysia telah mendapat teguran dari Bank Dunia berkenaan dengan subsidi secara pukal yang dilakukan sebelum ini. Hal ini kerana, kesan dari subsidi pukal ini akan berlaku banyak ketirisan kerana ia boleh dijual di sempadan kepada orang lain dan juga pekerja asing serta pelancong luar boleh menikmati subsidi tersebut. Sekaligus secara relatifnya orang yang sepatutnya menerimanya lebih sedikit berbanding dari orang yang berada didalam golongan berkemampuan.
Selain itu, BR1M juga mampu merancakkan ekonomi negara kerana sudah pastinya lebih 4 juta penerima BR1M akan berbelanja menggunakan wang BR1M tersebut mengikut keperluan masing-masing. Secara lazimnya, apabila permintaan bertambah, ekonomi sesebuah negara turut akan berkembang. Permintaan domestik adalah salah satu faktor untuk mengembangkan ekonomi.
Apa yang lebih membanggakan, idea BR1M ini turut dicontohi beberapa negara maju di luar. Terbaru, Negara di seberang tambak Singapura turut mengumumkan untuk mencontohi Malaysia untuk memberikan BR1M kepada golongan sasar di Negara mereka. Dengan ini tiada sebab untuk kita beranggapan bahawa BR1M merupakan satu sogokan untuk kepentingan bagi sesebuah parti politik.
Perubahan yang dilakukan oleh Dato’ Sri Najib Razak ini sememangnya telah membanggakan seluruh rakyat Malaysia kerana mempunyai seorang pemimpin yang sangat menjaga kebajikan rakyat. Semoga Najib akan kekal sebagai pemerintah di Negara ini supaya lebih banyak pencapaian yang mampu dilakarkan oleh beliau.
No comments:
Post a Comment