Sehingga ke hari ini, iaitu selepas lebih lima tahun projek itu diuar-uarkan kerajaan negeri DAP Pulau Pinang, tiada apa-apa perkembangan pun berhubung projek mega terowong dasar laut dan tiga lebuh raya yang dirancang Kerajaan negeri. Namun begitu, peliknya tanah milik rakyat bernilai jutaan ringgit telah dipindah milik sebagai kos bayaran kajian kebolehlaksanaan projek itu sudah pun terlepas ke tangan pemaju swasta.
Malah, pelbagai projek komersial bertaraf mewah dan elit juga sudah dirancang pemaju di atas tanah tersebut yang sepatutnya dibangunkan bagi memenuhi keperluan rakyat seperti rumah mampu milik.Tetapi dalam masa sama, projek utama iaitu terowong dasar laut dan tiga lebuh raya sehingga kini masih lagi samar-samar dan kerajaan negeri terus berselindung di sebalik alasan kajian kebolehlaksanaan dan impak alam sekitar (EIA).
Adakah projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya yang kononnya bagi mengurangkan kesesakan lalu-lintas? Atau projek di atas tanah milik rakyat yang diserahkan kepada pemaju sebagai kos kajian yang kini sedang dirancang dengan pembangunan mewah? Ini menimbulkan persoalan projek mana sebenarnya yang menjadi keutamaan Kerajaan DAP Pulau Pinang?
Apa yang dibimbangi penduduk ketika ini adalah projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya itu hanya diwujudkan bagi merasionalkan perjanjian tukar milik tanah rakyat kepada pemaju semata-mata. Dengan sekian banyak alasan dan kontroversi serta percanggahan penjelasan oleh kerajaan negeri termasuk ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), projek terowong dan lebuh raya itu pada akhirnya tidak akan pernah terlaksana.
Jika itu berlaku, penduduk Pulau Pinang sebenarnya akan menanggung kerugian cukup besar kerana tanah milik mereka sudah pun terlepas kepada pemaju dan mustahil dapat dikembalikan semula kepada mereka. Jelas sekali, projek halimunan Kerajaan DAP sememangnya telah menyusahkan rakyat khususnya rakyat Pulau Pinang. Adakah Kerajaan DAP Pulau Pinang sedang menipu rakyat pulau mutiara dan adakah berbaloi untuk membelanjakan lebih RM6 bilion bagi menyediakan projek berkenaan. Hanya rakyat Pulau Pinang saja yang tahu dan ada jawapannya.
No comments:
Post a Comment